Cerpen Tingkatan 1 : Sinopsis

Cerpen Oren : Sinopsis

Ayah “aku” gelisah kerana kucing belaannya, iaitu Oren tidak pulang ke rumah. Sudah empat hari ayah “aku” tidak melihat kelibat Oren. Oren ialah seekor anak kucing yang telah dipungut selepas ayah “aku” melanggar ibunya sehingga mati. Oren telah menjadi sebahagian daripada anggota keluarga “aku”. Ayah “aku” dapat merasakan bahawa Oren merajuk. Hal ini disebabkan oleh kehadiran Kelabu dalam keluarga mereka. Kelabu yang lebih manja dan pandai mengambil perhatian telah membuatkan ayah “aku” dan anggota keluarganya banyak memberikan tumpuan terhadap Kelabu.

Kehilangan Oren membuatkan ayah “aku” berasa bersalah. Kegelisahan ayah “aku” tentang kehilangan Oren telah terbawa-bawa dalam mimpinya. Ayah “aku” bermimpi Oren telah kembali dan dia bermanja dengan Oren. Pada keesokan harinya, ayah “aku” bertanya tentang Oren kepada anak-anaknya. Selepas diberitahu bahawa Oren masih tidak nampak kelibatnya, barulah ayah “aku” sedar bahawa dia

sebenarnya bermimpi. Ayah “aku” menceritakan mimpinya itu kepada keluarganya.

Tiba-tiba Anis muncul di ruang dapur sambil membawa Oren. Oren telah mati dan bangkainya ditemukan di celah pokok tua yang tumbang di taman permainan. Seluruh anggota keluarga “aku” tertumpu kepada ayah “aku”. Mata beliau kelihatan mulai berkaca.

Leave a comment